KULAIJAYA: “Mak, tolong mak, sakit!” jerit Nurul Aminah Murjini, 15, apabila tangan kirinya tersepit pada gigi mesin perahan tebu di sebuah gerai menjual air tebu di Taman Kulai Baru, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, tangan kiri Nurul separas siku hampir hancur akibat tersangkut pada gigi mesin perahan tebu ketika membantu ibunya menjual air tebu di gerai berhampiran rumah kedai di Batu 21, Jalan Kulai-Johor Bahru.
Kejadian berlaku apabila tudung pelajar tingkatan tiga itu tiba-tiba tersangkut pada gigi mesin berkenaan yang sedang ligat berputar.
Menurut saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Hamid, 30-an, mangsa gagal menarik keluar tudungnya yang tersangkut ketika mesin berputar.
“Mungkin Nurul panik hingga menyebabkan dia gagal mematikan suis elektrik mesin berkenaan. Akibatnya, tangan kirinya separas siku turut termasuk ke bahagian berkenaan.
“Mesin itu akhirnya terhenti dan kami cuba membantu mengeluarkan tangan Nurul, tetapi gagal lalu menghubungi bomba untuk membantu mangsa,” katanya.
Hamid berada di situ untuk membeli makanan di gerai bersebelahan.
Sementara itu, bapa mangsa, Murjini Sunarto, 46, berkata, dia sedang membersihkan kebun di Kampung Sri Paya, dekat sini, sebelum dihubungi isteri yang memaklumkan kejadian itu.
“Kebiasaannya, pembantu mengendalikan mesin perahan tebu, tetapi hari ini (semalam), dia mengambil cuti kerana ada urusan.
“Nurul menggantikannya buat sementara saja, sejurus tiba di lokasi, saya terkejut mendapati tangan kirinya tersepit di gigi mesin berkenaan,” katanya.
Menurut Murjini, dia bimbang dengan masa depan anak bongsunya itu yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kelapa Sawit.
Nurul terpaksa menahan kesakitan selama kira-kira 15 minit sebelum tangannya dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kulaijaya.
Dia dihantar ke Hospital Kulaijaya untuk rawatan.
Berita dipetik dari myMetro
0 comments